Saturday, January 24, 2009

Rindu ku kepada Al-Andalus

Kali ini ingin aku berkongsi kisah tentang Andalusia, Spain. Aku bersama 6 rakan telah berpeluang menjejaki bumi yang pernah menjadi saksi keagungan kerajaan Islam selama 800 tahun ini setelah selesai menduduki exam winter 2007 yang lalu. Ada baiknya kita sama-sama menyelusuri sedikit sebanyak sejarah mulanya sinar Islam di Al-Andalus ini.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur.

Usaha meluaskan syiar Islam tidak terhenti di Sepanyol, malah berterusan hingga ke negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya. Walaupun kerajaan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.



Gibraltar atau Jabal Tariq


Islam menerangi Sepanyol juga kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.


Masjid Cordova, yang kini telah ditukar kepada Cordoba Cathedral

Dari aspek penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil.

Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya. Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol.



Al-Hambra, Andalusia

Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

800 tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, kenapa akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara.
Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana.
Dan sayup-sayup di sana terdengar kembali kata-kata yang diucapkan oleh Aishah, bonda kepada Abu Abdullah , iaitu Raja terakhir kerajaan Islam Granada, pada 21 Muharram 897 Hijrah…

“MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.”

Abu Abdullah memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.



Gambar yang diambil dalam ‘bekas’ Masjid Cordova


Terdapat manuskrip tentang laporan pegawai polis yang menyiasat keadaan sisa-sisa umat Islam selepas pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope pada tahun 1492. Penyiasatan itu merujuk kepada daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador. Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki.


Patung El Cid Campeador di Valencia


Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi, biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.

Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Laporan itu juga mencela orang Islam kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya.


Kemegahan palsu Sepanyol yang wujud sekarang

Ustaz Hasrizal melalui blognya di saifulislam.com berpendapat catatan ini telah membuktikan bahawa walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570.

Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka. Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!

Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk dan keji pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu. Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.


Menara ini pernah menjadi tempat laungan azan berkumandang, tetapi kini hanya bunyi loceng menemani kami



Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.


Adakah Al-Hambra akan hanya dikenang sebagai jenama arak?


Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.

Teruskan leka dan hiburanmu wahai bangsa Malaysia. Nafikan kebinasaan manusiamu dengan kebanggaanmu terhadap Sains dan bangunan konkrit dan batu, engkau sedang menjejaki kesilapan Andalus…


Malaysia Boleh!!!

1 comment:

  1. Bagaimana pula dengan masjid alhamra,sama jugakah nasibnya? saya berminat untuk membincangkan perkara ini dengan student saya...

    ReplyDelete