Saturday, January 24, 2009

Rindu ku kepada Al-Andalus

Kali ini ingin aku berkongsi kisah tentang Andalusia, Spain. Aku bersama 6 rakan telah berpeluang menjejaki bumi yang pernah menjadi saksi keagungan kerajaan Islam selama 800 tahun ini setelah selesai menduduki exam winter 2007 yang lalu. Ada baiknya kita sama-sama menyelusuri sedikit sebanyak sejarah mulanya sinar Islam di Al-Andalus ini.

Islam mula masuk ke Sepanyol pada 92 H di bawah kepemimpinan panglima Tariq bin Ziyad, Musa bin Nusair dan Abdul Aziz bin Musa. Selepas kemasukan mereka melalui Jabal Tariq (Gibral Tar) pada tahun itu, Sepanyol beransur-ansur muncul menjadi sebuah negeri yang makmur.

Usaha meluaskan syiar Islam tidak terhenti di Sepanyol, malah berterusan hingga ke negeri sekitar seperti Perancis. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya. Walaupun kerajaan Islam sangat kuat dan memiliki kekuasaan yang luas, mereka masih tetap memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang juga kawasan pergunungan.



Gibraltar atau Jabal Tariq


Islam menerangi Sepanyol juga kerana sikap penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang Sepanyol yang tulus dan ikhlas memeluk Islam. Mereka bukan hanya beragama Islam, namun mereka sungguh-sungguh mempraktikkan kehidupan secara Islam. Mereka tidak hanya membaca al-Quran malah bertingkah laku berdasarkan al-Quran. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.


Masjid Cordova, yang kini telah ditukar kepada Cordoba Cathedral

Dari aspek penguasa dan pemimpin Islam pada masa itu sangat berwibawa dan digeruni. Abdul Rahman al-Dakhil, sebagai contoh, adalah orang yang mendirikan Khilafah Bani Umayyah di Andalus. Ketika dijemput pemimpin Kristian yang dibantunya dalam memerangi musuh mereka, beliau dipelawa minum arak, tetapi beliau menolak secara diplomasi dengan katanya: “Aku memerlukan tambahan untuk otakku bukan untuk mengurangkannya.”

Bagaimanapun, selama Islam berada di Andalus berabad-abad lamanya itu, mereka tetap di keliling orang kafir Sepanyol yang sedia menanti untuk menghapuskan Islam di negara itu, namun mereka selalu gagal. Beberapa kali dicuba tapi selalu tidak berhasil.

Mereka kemudian menghantar perisik untuk mengkaji kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemui cara untuk menakluki Islam di Sepanyol, iaitu melemahkan iman mereka dengan serangan pemikiran dan budaya. Mereka secara senyap menghantar arak dan rokok secara percuma ke wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca al-Quran. Mereka juga mengirim sejumlah ulama palsu yang kerjanya meniupkan perpecahan di kalangan umat Islam Sepanyol.



Al-Hambra, Andalusia

Akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila satu persatu daerah di Sepanyol jatuh.
Di samping itu, antara punca lain yang membuat Andalus hilang daripada peta sejarah umat Islam adalah perbalahan dan permusuhan sesama sendiri antara mereka sehingga menjadi lebih daripada 20 puak yang mempunyai negeri sendiri. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain. Dengan wujudnya ramai puak ini, mudahlah musuh Islam di Andalus merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan ada umat Islam yang menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

800 tahun bukan masa yang singkat. Selepas umat Islam ‘menghidupkan’ Sepanyol dan menjadikannya bangsa yang bertamadun, berbanding bangsa lain di Eropah, kenapa akhirnya ia seolah-olah tidak pernah wujud di negara itu? Peristiwa ini amat menyedihkan bagi umat Islam sepanjang zaman. Sepanyol sekarang bukan Sepanyol dahulu. Sepanyol hari ini bukanlah Andalus pada satu masa dulu.

Sebenarnya musuh Islam dan umatnya tetap satu. Dari dulu hingga sekarang musuh Islam tetap ada, cuma ia berbeza orang dan jenteranya. Mereka tetap ingin melenyapkan Islam sedapat mungkin dengan apa juga cara.
Dengan mengambil contoh Andalus yang hilang dan mencari sebab kehilangannya termasuk kelemahan akidah dan terlepas daripada jalur yang lurus, permusuhan sesama sendiri, berpihak kepada bukan Islam, kesenangan yang tidak terkawal dan kecintaan terhadap dunia, tidak mustahil ia juga akan berlaku di mana-mana.
Dan sayup-sayup di sana terdengar kembali kata-kata yang diucapkan oleh Aishah, bonda kepada Abu Abdullah , iaitu Raja terakhir kerajaan Islam Granada, pada 21 Muharram 897 Hijrah…

“MENANGISLAH anakku bak kaum wanita menangis ke atas kerajaanmu yang hilang kerana kamu tidak dapat memeliharanya seperti kaum lelaki.”

Abu Abdullah memeterai perjanjian penyerahan kerajaannya kepada Raja Kristian Sepanyol, Ferdinand dan Isabella. Dengan itu, berakhirlah era kerajaan Islam di bumi Eropah yang berkuasa selama 800 tahun.



Gambar yang diambil dalam ‘bekas’ Masjid Cordova


Terdapat manuskrip tentang laporan pegawai polis yang menyiasat keadaan sisa-sisa umat Islam selepas pembunuhan Muslim besar-besaran dengan restu Pope pada tahun 1492. Penyiasatan itu merujuk kepada daerah Valencia yang ditawan oleh El Cid Campeador. Semua yang dilakukan di Valencia adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Ataturk di Turki.


Patung El Cid Campeador di Valencia


Pada tahun 1516, diperkenalkan undang-undang yang melarang Muslimah menutup mukanya. Serban juga diharamkan, dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum menjadi hamba di ladang milik paderi. Pegawai polis itu juga geram dengan umat Islam yang enggan memakan babi, tidak minum arak dan khabarnya mandi setiap pagi Jumaat. Mereka telah menghancur binasakan Hamam kerana tidak mahu umat Islam mandi, biar kotor dan jijik seperti mereka. Anak-anak yang lahir diperiksa dan jika dikhatan, keluarganya akan dihukum.

Undang-undang diperkenalkan pada tahun 1526 yang mengharamkan orang Islam memiliki kunci rumah. Pintu rumah setiap orang Islam mesti dibiarkan terbuka dan orang Kristian boleh menjenguk masuk sesuka hati, demi memastikan orang Islam tidak bersembahyang atau menyimpan bejana air untuk berwudhu’. Laporan itu juga mencela orang Islam kerana didapati mereka menamakan anak-anak mereka dengan dua nama. Secara rasmi, mungkin bernama Fredo tetapi di dalam rumah anak itu dipanggil Ahmad, Ali dan sebagainya.


Kemegahan palsu Sepanyol yang wujud sekarang

Ustaz Hasrizal melalui blognya di saifulislam.com berpendapat catatan ini telah membuktikan bahawa walaupun penghapusan etnik telah mencapai kemuncaknya pada tahun 1492, umat Islam yang berbaki masih terus mempertahankan Islam mereka. Intifadhah pertama umat Islam berlaku pada tahun 1501 dan ia berterusan hingga 1570.

Namun sedikit demi sedikit, generasi anak Muslim pasca 1492, telah kehilangan Islam mereka. Mereka masih tahu diri mereka Islam tetapi apabila mereka melarikan diri menyeberang laut ke pantai Afrika Utara di kawasan Tunisia, mereka telah dibunuh oleh umat Islam sendiri. Mereka disyaki sebagai pengintip Kristian, semata-mata kerana bahasa mereka yang rumit dan gagal membuktikan pengetahuan mereka tentang Solat!

Ternyata, hampir semua buku tentang Sejarah Eropah yang ada di pasaran menyembunyikan sejarah Andalus kerana ia terlalu buruk dan keji pada imej kaum Kristian yang sangat hina pada masa itu. Pope hari ini sudah memohon maaf kepada Yahudi atas perlakuan kuasa Kristian kepada Yahudi ketika itu, tetapi hingga kini, beliau masih sombong untuk memohon maaf atas kematian umat Islam yang mencecah ratusan ribu malah jutaan orang. Kalau mati di medan perang, ia cerita lain. Tetapi ini adalah pembunuhan dan penyembelihan yang diarahkan oleh Pope kepada El Cid Campeador dan pemimpin Kristian sejagat.


Menara ini pernah menjadi tempat laungan azan berkumandang, tetapi kini hanya bunyi loceng menemani kami



Mana mungkin sejarah Andalus dapat disembunyikan. Ia bukan era 8 bulan atau 8 tahun, tetapi 800 tahun. 800 tahun yang tidak mungkin Eropah hari ini boleh berdiri tanpanya.


Adakah Al-Hambra akan hanya dikenang sebagai jenama arak?


Tiada lagi Andalus… hasil kebodohan umat Islam yang berpecah belah, bersikap nifaq berkonspirasi dengan musuh untuk membunuh saudara sendiri, lantas dihukum Allah dengan kezaliman Kristian yang tiada tolok bandingnya.

Teruskan leka dan hiburanmu wahai bangsa Malaysia. Nafikan kebinasaan manusiamu dengan kebanggaanmu terhadap Sains dan bangunan konkrit dan batu, engkau sedang menjejaki kesilapan Andalus…


Malaysia Boleh!!!

Monday, January 19, 2009

Sultan Abdülhamid II

Sultan Abdülhamid II

Bermula dari 1 Januari hingga 14 Januari, aku bersama 2 rakan sekuliah telah berpeluang melawat Turki..tema kali ini adalah untuk melihat sendiri tinggalan yang menyimpan pelbagai kisah tentang jatuh dan bangunnya kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Untuk entri ini, ingin aku kongsikan kisah tentang seorang sultan yang kami selalu bincangkan. Sultan Abdülhamid II, who was the last Ottoman Sultan to rule with absolute power.

Jarak dari hotel kami di Sultanahmet, tidaklah jauh dari Beyazid, di mana terletaknya makam Sultan Abdülhamid II. Semasa melawat makam baginda, fikiranku melayang kembali tentang entri Ustaz Hasrizal di dalam blognya di saifulislam.com


Makam Sultan Abdülhamid II


Pelbagai fitnah dan tohmahan diajukan kepada baginda. Sultan Merah, Pemerintah Kuku Besi dan pembazir wang negara untuk kelas piano anaknya, dan 1001 lagi tohmahan dunia kepadanya.

“Sesungguhnya aku tahu, bahawa nasibku semakin terancam. Aku boleh lari ke Eropah untuk menyelamatkan diri. Tetapi untuk apa? Aku adalah khalifah yang bertanggungjawab ke atas umat ini. Tempatku adalah di sini, di Istanbul… beliau melulis dalam diarinya

Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.

Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika(Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.


Peristiwa malam itu


“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa.

Tiada simpati di wajah mereka.

“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.

Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.

“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.

“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso.

“Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.

Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.

Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.

“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.

Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah.

“Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.

Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu.

“Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.

“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan.

Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.

Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.

Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.

Beberapa hari selepas itu aku berpeluang melawat Stesyen Keretapi Sirkeci. Inilah tempat Sultan Abdul Hamid beserta sekalian isteri dan anaknya dihantar pergi meninggalkan bumi Khilafah, ke istana buruk milik Yahudi di Salonika, pembuangan negara sebelum seluruh khilafah dimusnahkan di tangan musuh Allah, si Yahudi dan konco-konconya.

Stesen Keretapi Sirkeci


Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.

“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan”, kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.

Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.

“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.

Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.

Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.

“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata..

Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga.

Akhirnya pada tahun 1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.

Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.

Istana Beylerbeyi


“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.

Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.

Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.

“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudah hilang upaya.

Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah… tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.

Di bilik inilah Sultan Abdul Hamid dikurung sehingga ke akhir hayat


“Aku yakin yang ahli sejarah akan membelaku. Seandainya ahli sejarah Turki tidak melakukannya sekali pun, aku pasti akan ada ahli sejarah luar yang akan menegakkan keadilan buatku”, Sultan Abdul Hamid menulis suara hatinya ketika di pembuangan di Salonika, Greece.